Kisah Hadis Seorang Ulama Besar Dunia Islam

"Ketawadhuan dan Kelembutan al-Alim al-Allamah Muhaddis al-Syam Sayyid Badruddin al-Hasani ra Terhadap seorang pelacur"

Seorang ulama besar Hadis sedang asyik membacakan serta mensyarahkan maksud hadis kepada para muridnya. Tiba-tiba sang guru berhenti membacakan hadis dan bertanyakan sesuatu yang membuatkan semua murid terpinga-pinga.

"Muridku sekalian, aku punya hajat yang sangat besar.siapa yang mampu menunaikan hajatku ini?" Tanya sang murabbi pada seluruh muridnya.

Salah seorang murid dekat Syeikh menjawab dengan penuh adab, " Hajat apakah wahai Tuan Guru? Khabarkanlah kepada kami, semoga kami mampu untuk menunaikannya untuk Tuan Guru".

Sang Guru menarik nafas dengan perlahan seraya berkata " Aku punya sedikit harta yang ingin aku sedekahkan,adakah yang ingin membantuku membagikan harta ini?"

"Kami bersedia membantumu wahai Tuan Guru untuk membagikan harta ini" jawab Murid tersebut dengan bersemangat.

"Bolehkah Tuan Guru jelaskan kepada kami kepada siapakah harta ini akan dibahagikan?"seorang murid yang lain bertanya dengan lebih lanjut.

"Hartaku ini akan aku sedekahkan kepada para pelacur yang berada di tempat sekian-sekian"Jawab Tuan Guru dengan tenang.

Murid pun bertanya tanya,masing-masing keliru dengan tujuan utama Tuan Guru yang terkenal alim dan soleh ini.

"Aku sudah mengagakkan bahawa kamu semua tentu tidak akan mampu untuk melaksanakan hajatku ini. Kalau begitu tidaklah mengapa. Biarlah aku sendiri yang pergi menyampaikannya."Tuan Guru menjawab dengan tenang.

Para murid rasa bersalah di atas sikap yang mereka tunjukkan. Salah seorang murid dekat Tuan Guru menawarkan dirinya untuk menyampaikan harta tersebut. Mana mungkin dia boleh membiarkan Tuan Guru yang terkenal hebat dan wara' ini dibiarkan masuk dan datang ke tempat hina seperti itu.

"Ketuklah setiap pintu rumah pelacuran tersebut dan ketika kamu menyampaikan sedekah ini katakan bahawa ini adalah sedekah daripadaku (Nama tuan guru) dan doakan aku semoga diberkati oleh Allah taala" Tuan Guru memberikan pesanan kepada muridnya tersebut. (seorang Ulama Besar di Zamannya meminta doa kepada pelacur)

Maka sang murid yang mulia ini melakukan tugasnya dengan penuh tanda tanya di dalam pemikirannya mengapakah Tuan Guru ingin benar memberikan sedekah dan meminta doa kepada golongan hina ini.Namun arahan Tuan Guru perlu dilaksanakan. Sang murid menutup mukanya dan terus masuk ke kawasan pelacuran tersebut.

Beliau mengetuk setiap pintu rumah pelacuran di kawasan itu dan menyampaikan apa yang dipesan oleh Tuan Guru kepadanya.

"Assalamualaikum, maafkan saya mengganggu, saya adalah utusan daripada Tuan Guru fulan bin fulan ingin menyampaikan sedekah daripada beliau kepada kalian. Beliau berpesan agar mendoakan beliau semoga dirahmati oleh Allah taala".

Terkejut para pelacur bila mendengar nama Tuan Guru yang alim dan wara tersebut sudi memberikan sedekah dan meminta doa kepada mereka.Setelah selesai tugasnya, sang murid langsung pergi daripada kawasan hitam tersebut sambil menghelakan nafasnya.

Masing-masing menanti-nanti apakah yang akan terjadi selanjutnya setelah peristiwa tersebut. Keesokkan paginya , sesuatu yang mengejutkan telah terjadi. Seluruh bumi Syria gempar apabila keseluruhan pelacur yang ada di kawasan tersebut beramai-ramai datang menunaikan solat Subuh di Masjid Tuan Guru. Mereka datang mendengar majlis pengajian daripada Tuan Guru dan bertaubat daripada segala dosa-dosa yang telah mereka lakukan. Barulah semua murid faham mengapakah Tuan Guru ingin memberikan sedekah tersebut kepada golongan pelacur.

Ini merupakah karamah yang Allah taala kurniakan kepada Tuan Guru yang wara'. Dakwahnya yang sangat lembut dan berkesan memberikan dampak yang sangat besar kepada kehidupan pelacur-pelacur tersebut.

- Tuan Guru yang hamba maksudkan di sini ialah al-Alim al-Allamah Muhaddis al-Syam Sayyid Badruddin al-Hasani rahimahullahu taala. Beliau wafat pada 1354 Hijriyah. Beliau digelar "Khatimah al-Huffaz dan al-Muhaddissin" yang bermaksud penutup kepada para ulama Hadis yang terkemuka. Mula mengarang kitab ketika umurnya belumpun sampai 20 tahun.

Wallahualam..

Allahumma sholli 'ala Sayyidina Muhammad wa'ala alihi washobihi wasalim



Postingan Lama
Postingan Lebih Baru